Thursday, September 22, 2011

Taun, Kolera dan Plague


Taun dalam bahasa Melayu merupakan penyakit kolera. Sejenis jangkitan yang berlaku pada usus disebabkan oleh bakteria Vibrio Cholera. Berbeza dengan taun dalam bahasa arab (طاعون) bermaksudPlague, iaitu sejenis penyakit wabak yang disebabkan oleh bakteria Yersinia Pestis. Jangan tertukar, walaupun sebutan sama tapi makna berbeza apabila merentasi benua.

Plague boleh dikategorikan kepada 3 jenis : bubonic plague, septicemic plague dan pneumonic plague. Pneumonic plague boleh berjangkit antara manusia dan boleh tersebar melalui udara. Hampir semua pesakit yang menghidapi pneumonic plague akan berakhir dgn kematian jika tidak dirawat. Pada tahun 1348-1350, Eropah telah ditimpa musibah yang sangat besar apabila wabak plague melanda dan menyebabkan kematian sebanyak 30 hingga 60 peratus dari jumlah penduduk Eropah dan mengurangkan populasi penduduk dunia dari 450 milion ke 350-375 milion pada tahun 1400. Tragedi yang menakutkan, dinamakan Black Death.
photo from britannica.com

Walaupun makhluk halus atau bakteria Yersinia Pestis ini tidak mampu dilihat dgn mata kasar, tetapi boleh menyebabkan jumlah kematian umat manusia yang sangat besar. Inilah salah satu tanda kebesaran Allah Ta'ala. Kalau diperhatikan antara simptom bubonic plague ialah pembesaran kelenjar limfa di kawasan lipatan paha dan ketiak dan boleh menyebabkan kesakitan. Bertepatan dengan ulasan Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Aishah tentang tanda-tanda penyakit tersebut
"غدة كغدة البعير يخرج في المراق والإبط"
 "Kelenjar yang muncul seperti yang dialami oleh unta, tumbuh di المراق (kawasan lipatan paha - inguinal) dan ketiak"  Inilah salah satu kelebihan Nabi Muhammad S.A.W.  Wallahua'lam.

Sumber : 
1.http://en.wikipedia.org/wiki/Black_Death
2.http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmedhealth/PMH0001622/
3.Ibnu Qayyim Al-Jauziah - At-Tibb an-Nabawiy (buku terjemahan: berubat mengikut Nabi S.A.W terapi alternatif bagi orang Islam) - Jasmin enterprise 

Saturday, May 14, 2011

Buku yang bermanfaat

   Ada teori mengatakan jika anda hafal satu hari satu ayat al-Quran, dalam masa 17 tahun 8 bulan 9 hari anda sudah menghafal 30 juzuk al-Quran.

   Cubalah amalkan, dan kalau berjaya jangan lupa khabarkan kepada saya. Saya akan 'tebuk' anda sampai berlubang sana sini. 

   Menghafal al-Quran buat kali pertama tidaklah begitu susah, tetapi apabila anda sudah menyimpan banyak surah dalam memori anda, kecelaruan akan berlaku. Ayat dari juzuk satu tertukar dengan ayat dari juzuk sembilan. Kadang-kadang awal surah al-Baqarah pun boleh tertukar dengan awal surah Luqman. Inilah dilema yang biasa dialami oleh para penghafaz al-Quran. Masalah ini akan mengganggu kelancaran semasa pengulangan hafalan al-Quran, akhirnya boleh menyebabkannya berasa tidak bersemangat untuk terus mengulang. Lama kelamaan al-Quran mula hilang sedikit demi sedikit dari memorinya.

   Maka apakah penyelesaiannya? 

  Jawapannya cukup mudah. Anda hanya perlu mengenal pasti ayat-ayat yang hampir mempunyai kesamaan, kumpulkan dan bandingkannya. Akan tetapi untuk melakukan semua perkara ini, agak memakan masa dan meletihkan. Oleh itu saya ingin mengesyorkan satu buku yang cukup elok untuk penghafal al-Quran, buku yang mengumpulkan hampir kesemua ayat-ayat yang hampir sama serta bagaimana cara untuk mengelakkan daripada tertukar. Buku ini ditulis dalam bahasa Arab tetapi cukup mudah untuk difahami.

Buku karangan Abdullah Abdul Hamid Al-Warraqi. Anda sendiri boleh baca tajuknya, saya tidak pandai untuk terjemahkan ke bahasa Melayu.
 
Satu contoh yang boleh saya petik daripada buku ini:

1. أَتُجَادِلُونَنِي فِي أَسْمَاءٍ سَمَّيْتُمُوهَا أَنتُمْ وَآبَاؤُكُم مَّا نَزَّلَ اللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَانٍ (سورة الأعراف : 71) 

2مَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِهِ إِلَّا أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوهَا أَنتُمْ وَآبَاؤُكُم مَّا أَنزَلَ اللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَانٍ (سورة يوسف : 40)

Perkataan yang   hampir sama: نزّل dengan أنزل


Teknik untuk mengelakkan kekeliruan:

  • Perkataan نزّل terdiri dari 3 huruf. Ayat ini menceritakan tentang nabi هود. Perkataan هود terdiri dari tiga huruf.
  • Perkataan أنزل terdiri dari empat huruf. Ayat ini menceritakan tentang nabi يوسف. Perkataan يوسف terdiri dari empat huruf.

Hebat bukan? Anda tidak mungkin akan tertukar lagi selepas mengetahui teknik ini. Jika anda berada di Mesir, buku ini boleh dimiliki dengan harga 30Le sahaja. Cukup bermanfaat!

Sekian.

Monday, April 11, 2011

Ahlan wa Sahlan


بسم الله الرحمن الرحيم

Bismi-llāhi r-raḥmāni r-raḥīm

  Siapa sangka saya akan mula menulis blog? Saya juga tidak menyangka perkara ini berlaku. Akan tetapi inilah hakikat. 

  Sebenarnya terlalu banyak kelebihan yang diperolehi dari menulis blog, antaranya: 
1. Salah satu cara untuk kita berkongsi informasi yang bermanfaat.
2. Meningkatkan mutu penulisan.
3. Membantu kita menguasai sesuatu subjek yang ingin ditulis.
4. Menjadi sumber pendapatan sampingan. 

  Menulis juga merupakan amalan para cendekiawan Islam. Sebagai contoh, jumlah karya Imam An-Nawawi jika dibahagikan kepada umur beliau, nescaya purata beliau menulis sebanyak dua buku setiap hari.

  Masih terdapat banyak kelebihan yang tidak mampu saya garap di sini. Akhir sekali, saya berharap akan menerima banyak maklum balas positif daripada para pengunjung. Saya memohon supaya Allah memelihara saya dari sebarang kesilapan, dan memberkati segala amalan saya.

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ تُؤْتِي


 أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا ۗ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ 

  Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).  
Ibrahim : 24,25