Sunday, February 5, 2012

Mari berselawat kepadanya

  Salam Maulidur Rasul. Sama-sama kita banyakkan selawat dan salam ke atas baginda dan ahli keluarga baginda SAW. Tiada salahnya kita menjadikan tarikh mulia 12 Rabiul Awal sebagai hari untuk sama-sama kita tingkatkan kecintaan kepadanya. 

  Alhamdulillah tahun ini Maulidur Rasul jatuh dalam tempoh cuti pertengahan tahun. Dalam kesibukan terlibat dengan beberapa program di Mansurah, sempat saya mengikut satu kuliah ringkas daripada seorang syeikh al-Azhar, doktor Abdul Aziz Mursyidi, pensyarah kuliah usuluddin universiti al-Azhar cawangan Mansurah. 

  Saya kira, kuliah syeikh cukup memberi kesan kepada hati-hati kami. Saat mendengar gambaran akhlak-akhlak Nabi SAW menjadikan rasa cinta ini membuak-buak. Walaupun kebanyakan isi kuliah yang disampaikan pernah saya dengar atau baca, tapi mungkin kerana disampaikan dari hati yang ikhlas, memungkinkan kata-kata itu menjangkau hingga ke dasar hati. 

  Antara nasihat syeikh yang saya ingat, kata Ibnu Abbas R.A, apabila kamu berdoa mulakanlah dengan berselawat kepada Nabi SAW, dan akhiri juga dengan selawat kepadanya. Kerana selawat ialah doa yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. Jika doa kamu dimulai dan diakhiri dengan selawat, maka seluruh doa tersebut akan diangkat dan diterima oleh-Nya. 

  Teringat juga nasihat syeikh tentang menuntut ilmu. Dua elemen penting dalam belajar ialah membaca dan menulis. Bukankah ayat pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW bermaksud 'bacalah', dan surah al-Qalam pula ada menyebut tentang penulisan. 

  Akhir sekali nasihat saya kepada para penuntut ilmu, belajarlah bersungguh-sungguh, banyakkan bacaanmu, dan tulislah ilmu tersebut agar dapat disebar kepada seluruh umat manusia. 

Bilakah lagi berpeluang menuntut ilmu daripada insan seperti beliau?
Foto oleh Nabil