Monday, December 5, 2011

Pemimpin dan Rakyat

Nombor 6 atau 9?

Digit 6. Orang yang memandang dari bawah semestinya akan berkata ini angka enam. Tetapi mereka yang berada di atas akan menjawab, tidak, kamu salah, ini sebenarnya sembilan! Perbalahan yang tiada kesudahan.

Sering kali kita terlibat dalam situasi sedemikian. Hakikatnya benda yang sama, tetapi apabila dipandang dari sudut yang berlainan, akan menimbulkan keputusan yang berbeza sama sekali. Sudah tentu kita yakin bahawa kitalah yang betul, dan mereka yang berada di sebelah sana yang silap.

Ini hak kami

Dari konteks rakyat dan pemimpin, saya selaku ahli biasa sering berfikir, apakah sumbangan pimpinan PCM - PERUBATAN Cawangan Mansurah- terhadap kami. Terlalu banyak kelemahan, exco-exco yang lesu, program-program yang tidak mendapat sambutan, tiada pembaharuan dilakukan, PCM yang tidak menyeluruh, pimpinan yang suka menghalang aktiviti-aktiviti sebahagian pelajar ibarat polis Mesir. Seolah-olah hak kami sebagai rakyat telah diabaikan. 

Diabaikan oleh pemimpin yang tidak amanah.

Sejenak saya berfikir, kalaulah saya berada dalam posisi exco sekarang, mampukah saya melaksanakan seperti mana yang mereka telah buat? Sebagai contoh unit akademik, mampukah saya mengendalikan kelas tutor untuk semua kuliah (konvensional, manchester, pergigian, farmasi), mengawasi pergerakan MMA, mengambil berat tentang akademik pelajar-pelajar yang mengulang tahun, pada masa yang sama mengeluarkan analisis peperiksaan setiap semester, mengawal pergerakan majlis ketua kelas. Cukup banyak perkara yang perlu dilaksanakan dalam masa yang terhad. Satu tahun. 

Tolak sebulan untuk membiasakan diri selaku exco baru naik. 
Tolak 3 bulan exam mid & final year.
Tolak sebulan bercuti di Malaysia. 
Tinggal hanya tujuh bulan. 

Ini hanyalah sebahagian dari aktiviti-aktiviti lepas yang perlu diteruskan, belum lagi termasuk pembaharuan yang ingin diadakan. Ditambah lagi dengan tanggungjawab terhadap diri sendiri dari segi pencapaian akademik, hubungan dengan rakan-rakan sekeliling. Jawapannya memang saya tidak mampu, saya tahu kerana saya pernah menduduki kerusi exco akademik.

Ini hak kami juga.

Hak pemimpin untuk diberi sokongan dan bantuan. Tangan kita yang memangkah mereka ketika hari undian, tangan ini juga yang perlu menghulurkan bantuan kepada mereka. Ingat kisah Saidina Ali yang ditanya kenapa berlaku kekacauan pada zaman pemerintahan beliau, sedangkan tidak berlaku pada zaman Saidina Umar. Jawabnya rakyat di zaman pemerintahan Umar adalah aku, sedangkan rakyat aku adalah engkau.

Berapa banyak program bermanfaat yang tidak dihadiri oleh ahli, kerana malas.
Berapa banyak borang survey tidak diisi, alasannya leceh, hakikatnya malas.
Berapa banyak permintaan untuk menjadi ajk kecil ditolak, kerana malas.
Semuanya kerana malas.

Jangan kita jadi rakyat yang tidak amanah. 

Penyelesaian 

Kembali kepada isu nombor 6 @ 9. 
Tarik tangan kawan kita yang berada di sebelah sana ke arah kita, supaya dia nampak apa yang kita nampak. 
Duduk di posisi mereka, kita akan nampak apa yang mereka nampak selama ini.
Nescaya kedua-kedua belah pihak akan saling memahami. 

Rakyat ada hak untuk bersuara, menegur dan memberikan pandangan, tetapi perlulah disalurkan dengan cara yang betul. Pada masa yang sama, tanggungjawab rakyat untuk sama-sama memikul beban pemimpin mereka. 
Pemimpin pula perlu menunaikan hak rakyat kamu, dan berilah penerangan kepada mereka supaya mereka faham. Kamu mungkin bukan yang terbaik di kalangan kami, tetapi menjadi tanggungjawab kamu untuk melakukan yang terbaik.