Saturday, May 14, 2011

Buku yang bermanfaat

   Ada teori mengatakan jika anda hafal satu hari satu ayat al-Quran, dalam masa 17 tahun 8 bulan 9 hari anda sudah menghafal 30 juzuk al-Quran.

   Cubalah amalkan, dan kalau berjaya jangan lupa khabarkan kepada saya. Saya akan 'tebuk' anda sampai berlubang sana sini. 

   Menghafal al-Quran buat kali pertama tidaklah begitu susah, tetapi apabila anda sudah menyimpan banyak surah dalam memori anda, kecelaruan akan berlaku. Ayat dari juzuk satu tertukar dengan ayat dari juzuk sembilan. Kadang-kadang awal surah al-Baqarah pun boleh tertukar dengan awal surah Luqman. Inilah dilema yang biasa dialami oleh para penghafaz al-Quran. Masalah ini akan mengganggu kelancaran semasa pengulangan hafalan al-Quran, akhirnya boleh menyebabkannya berasa tidak bersemangat untuk terus mengulang. Lama kelamaan al-Quran mula hilang sedikit demi sedikit dari memorinya.

   Maka apakah penyelesaiannya? 

  Jawapannya cukup mudah. Anda hanya perlu mengenal pasti ayat-ayat yang hampir mempunyai kesamaan, kumpulkan dan bandingkannya. Akan tetapi untuk melakukan semua perkara ini, agak memakan masa dan meletihkan. Oleh itu saya ingin mengesyorkan satu buku yang cukup elok untuk penghafal al-Quran, buku yang mengumpulkan hampir kesemua ayat-ayat yang hampir sama serta bagaimana cara untuk mengelakkan daripada tertukar. Buku ini ditulis dalam bahasa Arab tetapi cukup mudah untuk difahami.

Buku karangan Abdullah Abdul Hamid Al-Warraqi. Anda sendiri boleh baca tajuknya, saya tidak pandai untuk terjemahkan ke bahasa Melayu.
 
Satu contoh yang boleh saya petik daripada buku ini:

1. أَتُجَادِلُونَنِي فِي أَسْمَاءٍ سَمَّيْتُمُوهَا أَنتُمْ وَآبَاؤُكُم مَّا نَزَّلَ اللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَانٍ (سورة الأعراف : 71) 

2مَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِهِ إِلَّا أَسْمَاءً سَمَّيْتُمُوهَا أَنتُمْ وَآبَاؤُكُم مَّا أَنزَلَ اللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَانٍ (سورة يوسف : 40)

Perkataan yang   hampir sama: نزّل dengan أنزل


Teknik untuk mengelakkan kekeliruan:

  • Perkataan نزّل terdiri dari 3 huruf. Ayat ini menceritakan tentang nabi هود. Perkataan هود terdiri dari tiga huruf.
  • Perkataan أنزل terdiri dari empat huruf. Ayat ini menceritakan tentang nabi يوسف. Perkataan يوسف terdiri dari empat huruf.

Hebat bukan? Anda tidak mungkin akan tertukar lagi selepas mengetahui teknik ini. Jika anda berada di Mesir, buku ini boleh dimiliki dengan harga 30Le sahaja. Cukup bermanfaat!

Sekian.