Friday, April 13, 2012

Voice Out Mansoura

   Dahulu saya tidak berminat membaca tentang isu-isu politik, ekonomi dan sosial. Semasa berada di bangku sekolah, saya tidak mengambil berat tentang perkara-perrkaa tersebut, bagi saya dengan mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan PMR, SPM dan sebagainya sudah cukup.

   Apabila menjejak kaki ke alam universiti, mujurlah saya terlibat aktif dengan PERUBATAN Cawangan Mansurah (PCM), persatuan dominan untuk pelajar-pelajar perubatan di sini. Penglibatan dalam persatuan mengubah cara saya berfikir dalam menilai sesuatu perkara yang berlaku, dan menimbang baik buruk akan tindakan yang diambil, lebih-lebih lagi apabila kita menjadi ketua unit atau salah seorang ahli majlis tertinggi. Saya juga mula merajinkan diri dengan meluaskan bahan bacaan dalam pelbagai bidang. Tapi peningkatan tersebut masih kurang memberansangkan, saya hanya membaca isu-isu semasa cuma sekadar tidak mahu dicop sebagai katak di bawah tempurung. 

   Tetapi keadaan berubah apabila saya mula memasuki pertandingan debat yang dianjurkan buat pertama kali oleh PCM. Pada mulanya saya menghadiri bengkel debat berniat hanya untuk melatih diri memberi ucapan awam, tetapi tidak semena-mena terheret masuk ke dalam pertandingan debat. Ini kawan punya pasal lah yang telah mendaftarkan nama saya walaupun saya belum memberi kata putus. Namun saya sangat bersyukur, pertandingan debat memberi impak yang cukup positif. 

   Sebenarnya acara pertandingan debat hanyalah 30 peratus daripada keseluruhan proses pertandingan. Yang paling penting adalah persediaan iaitu pembacaan, pengumpulan dan penelitian setiap fakta-fakta kes yang banyak memberi kesan positif kepada para peserta. Saya mula menelaah tentang isu-isu politik, ekonomi dan sosial dengan lebih rajin, reti bagaimana untuk tackle setiap isu yang timbul. Pembacaan menjadi lebih bermutu, ditambah lagi perbincangan dengan rakan-rakan sekumpulan yang memang sudah mempunyai pengetahuan umum yang luas. Abu Ubaidah yang memang minat politik, Izzat Kamal yang pandai memberikan hujah yang mantap, Azizi yang bijak membidas hujah-hujah pihak lawan. Banyak manfaat yang saya cedok daripada mereka. Selain itu pertandingan debat turut melatih pengucapan awam dan membentuk keyakinan diri apabila berdiri di khalayak ramai. Pendek kata ibarat pakej all in one, dengan menyertainya anda boleh perbaiki banyak sudut dalam diri anda. Hadiah wang tunai juga agak lumayan =)

   Jika dahulu apabila membaca tentang isu-isu politik, ekonomi dan sosial saya rasa cukup bosan, tapi sekarang tidak lagi. Dewan Ekonomi yang tidak pernah saya belek pun sebelum ini, tiba-tiba jadi teruja apabila membacanya. Memang betullah cakap Nasarudeen (ketua penganjur), kalau kita tiada minat kena timbulkan minat, lepas itu kalau tidak reti kenalah belajar. Nak tunggu minat datang bergolek dengan sendiri, memang tidak mungkin.  

   Seharusnya ribuan penghargaan diberi kepada semua urus setia yang menganjurkan pertandingan tersebut. Harap-harapnya tahun depan boleh buat lagi walaupun mungkin saya sudah tiada peluang untuk menyertainya. Penting untuk menjana minda para mahasiswa, lebih-lebih lagi mahasiswa perubatan yang mana minda kebanyakan daripada mereka hanyalah berfokus terhadap silibus pelajaran di samping hiburan sebagai bahan tambahan, tanpa cakna terhadap isu-isu setempat dan global. Kita pun tak nak menjadi seperti robot yang hanya tahu mencetak preskripsi ubat semata-mata, bak kata orang "pandai tapi tak cerdik".