Friday, June 29, 2012

Mesir Sudah Mula Berubah

Assalamualaikum

   Memerhatikan perubahan iklim politik di Mesir sungguh menggembirakan. Walaupun tidak dinafikan di sana ada beberapa perkara yang boleh memeningkan kita. Contohnya parlimen baru yang umurnya setahun jagung perlu dibubarkan selepas keputusan mahkamah, negara pula masih tiada perlembagaan yang tetap sampai sekarang. Tapi bagi saya semua perkara ini adalah normal. Normal bagi negara Mesir yang sudah diperintah 30 tahun oleh sang rejim yang kerja hariannya hanya mengaut keuntungan secara tidak sah, menindas rakyat yang lemah dan menutup pintu-pintu kemajuan.

  Semestinya Mesir hari ini, yang akan saya tinggalkan dalam tempoh beberapa bulan lagi, tidak sama dengan Mesir yang saya mula-mula jejaki  6 tahun lepas. Namun ada pandangan sinis yang mengatakan sama sahaja keadaannya sebelum revolusi atau selepas revolusi. Bagi saya golongan sebegini tidak mampu melihat dengan akal. Mereka hanya melihat dengan dua biji mata mereka sahaja. Mereka kata tiada perubahan pun berlaku, sama macam dahulu, lagi teruk ada lah.

   Sebenarnya perlu kita fahami kondisi teruk yang dilalui oleh kaum marhaen yang mendiami bumi yang hampir rosak jahanam angkara perbuatan si rakus, terlalu lama. Tempoh 30 tahun bukannya singkat. Mungkin perlukan masa yang hampir sama banyak untuk membangunkan balik ketamadunan Mesir yang pernah digelar 'Ummu al-Dunya'. Saya pernah melihat satu rancangan dokumentari yang mana seorang lelaki ditimpa kecelakaan lalu hilang penglihatannya. Selepas hampir 30 tahun, beliau berjaya menjalani satu pembedahan yang mengembalikan semula nikmat melihat. Akan tetapi penglihatan beliau tidak pulih secara serta merta, beliau terpaksa juga menggunakan tongkat untuk ke sana ke mari, kerana saraf-saraf antara mata dan otak beliau sudah 'berehat' selamat berpuluh-puluh tahun, nescaya tidak dapat diaktifkan dengan tiba-tiba. Begitulah ibaratnya, Mesir memerlukan masa untuk bangkit semula. Berilah peluang kepada rakyat Mesir dan pemimpin mereka, tidak mustahil mereka akan lebih terkehadapan daripada negara kita suatu hari nanti.

  Pasca pilihan raya presiden melihatkan kita kemenangan Dr Morsy sebagai presiden pertama Mesir selepas revolusi 25 Januari. Sudah semestinya perkara tersebut membawa sinaran fajar baru bagi warga Mesir. Ibarat seorang pengemis yang selama ini hidupnya merempat di jalanan, kini dianugerahkan sebuah hotel yang mewah dan mungkin tiada tandingannya dengan hotel-hotel lain. Maka terpulang kepada rakyat Mesir, untuk terus memelihara momentum revolusi yang mereka cetuskan tahun lepas, atau ingin mensia-siakannya. Semoga Allah mengurniakan yang terbaik kepada Mesir dan rakyatnya.

**Saya teringin mengulas tentang perubahan yang berlaku di Mesir bermula revolusi hingga sekarang, berdasarkan kaca mata saya sendiri. Semoga diberi peluang. 


Bersama rakan-rakan di pos Freedom and Justice Party (FJP),
sewaktu pilihan raya presiden.