Sunday, March 25, 2012

Ilmu

Assalamualaikum

     Baru-baru ini saya sempat menghadiri satu seminar 'keajaiban ilmu di dalam Al-Quran dan Sunnah' yang keenam di universiti Mansurah. Saya ingat kali terakhir saya sertai program sebegini pada tahun 2010. Alhamdulillah banyak input baru yang saya perolehi dari seminar tersebut. Pewarisan genetik? Kelebihan buah labu? Susu unta? - tapi jangan beli susu unta yang dijual oleh penjaja-penjaja di tepi jalan di Mesir. Kelajuan bintang meteor lebih laju dari jin? Batu-batan yang boleh menjadi sumber uranium? Banyak sungguh. Namun saya tidak ingin berbincang dengan mendalam tentang kajian-kajian tersebut memandangkan saya bukanlah orang yang berautoriti untuk bercakap tentangnya, dan juga hanya idea kasar yang mampu saya tangkap ketika menghadiri seminar tersebut, mungkin kerana kelemahan penguasaan saya terhadap bahasa arab ammi dan fushah.

     Namun begitu penyertaan saya dalam seminar tersebut telah mengubah tanggapan saya terhadap bidang ilmu ini. Sebelum ini saya kira bidang ilmu keajaiban al-quran dan sunnah ini hanyalah menceritakan tentang keajaiban-keajaiban yang selari dengan fakta sains, kemudian kita selaku orang Islam boleh berbangga-bangga dengannya tetapi nyata sekarang pemahaman saya sebenarnya agak sempit. 

     Apa yang lebih penting bagi saya, bagaimana kita applikasikan ilmu tersebut. Konsepnya kita ambil kemudian lakukan kajian demi kajian yang lebih terperinci oleh pakar-pakar, lalu kita 'produk'kan hasil tersebut supaya masyarakat mendapat manfaat. Contoh mudah yang saya boleh bagi, terdapat satu yayasan kebajikan di sini, Jam'iyyah el-Jasad el-Wahid yang mana objektif mereka 'mengubah kefahaman masyarakat berkenaan diet'. Antara aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan ialah menyediakan kotak-kotak yang mengandungi pelbagai jenis makanan yang akan diedarkan percuma kepada fakir miskin. Makanan-makanan tersebut disediakan dan dipaket oleh yayasan itu sendiri. Apa yang menarik formula makanan tersebut tidak sama dengan formula makanan yang dijual di pasaran. Contoh mudah ialah satu botol buah zaitun diproses dan disediakan dengan menggunakan formula tersendiri, yang tujuannya membekalkan peratusan nutrien yang mencukupi kepada pengguna, bukan bertujuan untuk mendapat hasil keuntungan. Di samping itu kotak makanan yang diagihkan itu mengandungi makanan-makanan yang berkhasiat yang telah disebut di dalam sunnah Nabi SAW. Inilah satu contoh aplikasi ilmu ini ke alam realiti. 

     Jika anda susah nak faham contoh di atas, contoh yang lebih mudah saya bawa. Kita tahu bahawa kayu miswak mengandungi banyak faedah kepada gigi kita. Lalu satu projek dijalankan untuk mempromosi penggunaan kayu miswak iaitu dengan mencipta alat cigar-cutter-like cap  untuk kegunaan lebih mudah. Inilah yang saya katakan mengaplikasikan 'ijaz ilmi ke dalam kehidupan'.  
  
     Lalu apa peranan kita? Saya nampak dua perkara penting di sini. Pertama perlunya kita menjadi pakar dalam bidang yang diceburi. Kerana sesuatu kajian memerlukan kepakaran, dan siapakah tenaga pakar tersebut kalau bukan kita? Kedua jadikan konsep-konsep yang kita dapat dari Al-Quran dan Sunnah sebagai subjek kajian kita. Kajian yang kita mahu lakukan banyak, dan kita tahu satu-satu kajian mengambil masa yang cukup panjang. Kalau kita tersilap memilih subjek, mungkin kajian kita akan berakhir dengan sia-sia. Oleh itu jadikan subjek-subjek yang disebut dalam Al-Quran dan Sunnah selaku subjek kajian kita. 
  
     Saya rasa cukup setakat ini. Sebelum berakhir, hadiah saya untuk anda, kalau di tempat anda boleh didapati buah labu air (bottle gourd), amalkan ia. Berdasarkan kajian buah inilah yang disebut sebagai يقطين (yaqtiin) di dalam ِAl-Quran. Bukannya buah pumkin seperti yang disangka kebanyakan orang arab. Setahu saya penanaman buah ini tidak giat diusahakan di negara-negara arab tetapi banyak terdapat di negara-negara lain. Orang kata kalau di Mesir mereka buang buah tersebut, apa yang diambil hanya bijinya untuk dijadikan 'butir labu'. Huh, bertamadun betul orang-orang arab ni.