Friday, September 30, 2011

Bosan

Jam menunjukkan pukul 2.02 pagi. Susahnya ingin melelapkan mata ini walaupun badan sudah lenguh selepas main-main (ya..sebab tak pandai main) di padang bola petang tadi. Insomnia sudah menjadi acara musim panas bagi aku. Mungkin disebabkan tidurku yang berlebihan pada siang hari, menyebabkan otak ini cergas di malam hari. Pada waktu sebeginilah, jari-jemari gatal untuk mencoret dalam blog buruk ini yang tidak mempunyai tetamu. 

Beberapa hari lepas aku sempat berkenalan dengan pelajar-pelajar baru, yang aku jumpa dalam madarasah Imam Nawawi. Mereka baru sahaja mendarat di bumi Mesir beberapa hari yang lepas, agaknya tidak sempat merasai debu-debu, panas terik dan hiruk pikuk bandar Kaherah, terus dibawa ke Mansurah yang tenteram dan aman. Terkejut juga bila melihat jumlah yang ramai menyerbu madrasah, biasanya jumlah pelajar lelaki tidak seramai itu. Apapun, tahniah kepada para mushrif yang bersungguh-sungguh membawa mereka, terutama 'Abang Zaim' a.k.a pengarah Madrasah Imam Nawawi. 

photo taken from flightalbum.com


Kalau diimbas kembali sejarah kedatangan batch kami pada 5 tahun lepas, agak berbeza dengan situasi pelajar-pelajar baru sekarang. Kami disambut oleh ustaz-ustaz dan senior-senior perubatan batch pertama yang cukup mesra, persatuan DPMM yang menaungi kami dengan licin & cekap mengurus kedatangan kami. Teringat abang-abang lama seperti Ustaz Affendi, Ustaz Daud dan lain-lain yang seangkatan dengan mereka, melayan dan menjaga kami ibarat ibu burung membesarkan anak mereka yang baru menetas, baru sahaja si anak berasa lapar, terus disuap oleh ibu. Begitulah ibaratnya pertolongan yang mereka hulur tanpa kami pinta.

Kami tiba di Mesir pada waktu kuliah sudah bermula. Sudah menjadi kebiasaan, pelajar-pelajar baru akan datang sedikit lewat ke Mesir kerana 'kelebihan' pejabat pelajar-pelajar asing di Mesir yang sangat lembab dalam menguruskan kenaikan nama pelajar-pelajar di universiti. Akibatnya kami terlepas kuliah dalam tempoh beberapa hari. Kali pertama aku menghadiri kuliah di universiti, cukup sengsara untuk memahami apa yang diajar oleh doktor. Bukan sahaja tidak faham, malah aku tidak mampu untuk mengetahui apakah perkataan yang keluar dari mulut pensyarah, bahasa arab pasar bagiku seperti bahasa india, lebih-lebih lagi kalau mereka bercakap laju, entah apa yang disebut. 3 bulan aku ambil masa untuk cuba menangkap setiap perkataan yang ditutur oleh pensyarah-pensyarah di dalam kuliah. Pada masa ini, ilmu bahasa arab yang dipelajari di sekolah menengah dahulu memang tidak mampu untuk aku praktikkan. Mujurlah DPMM ada menganjurkan kelas bahasa arab sekali seminggu, selama 3 minggu kalau aku tidak silap. kelas sebegitu sangat bermakna bagi aku, kerana banyak asas-asas bahasa arab yang diajar. asas-asas inilah yang aku guna untuk meningkatkan penguasaan bahasa arab. bagi aku, apa sahaja cabang ilmu yang ingin dipelajari, mestilah faham asas terlebih dahulu barulah anda boleh kembangkan ilmu tersebut. kalau asas kita abaikan, sampai mati..ya aku ulang..sampai mati kita tidak akan maju dalam sesuatu bidang. sebab itu kadang-kadang aku jumpa mereka yang sudah lama hidup di Mesir, bahasa arabnya lancar tetapi terdapat kesalahan-kesalahan yang serius, masih tertukar antara 'saya datang' dengan 'kamu datang'. Selepas 6 bulan berlalu, aku sudah mampu untuk memahami serba sedikit apa yang diajar dalam kuliah. Kredit kepada senior-senior yang banyak membantu. 

Nasihat yang ingin aku sampaikan kepada mereka yang baru sampai ke sini, cubalah menguasai bahasa arab dengan sebaik mungkin. Belajarlah bahasa arab ammiah (pasar) sekadar mana membolehkan anda berkomunikasi dengan masyarakat di sini, dan tekunlah dalam mempelajari bahasa arab fushah, kerana itulah jantung kepada kebanyakan ilmu-ilmu luar kuliah (jika kamu ingin jadi penuntut ilmu). Kalau kamu datang ke sini dengan matlamat utama belajar sekadar lulus, yang selebihnya jalan-jalan atau makan angin, silalah berambus. Kamu hanya membazirkan masa dan duit datang ke Mesir. 

Rasanya beberapa perenggan di atas sudah cukup untuk kali ini, kalau rajin akan aku sambung lagi cerita-cerita yang seterusnya. 

No comments:

Post a Comment